Jumaat, 31 Oktober 2008

Pencemaran Alam Sekitar

Kerajaan terus menumpukan perhatian terhadap isu alam sekitar untuk membenteras pencemaran. Salah satu punca pencemaran pesisiran pantai adalah dari kesan tumpahan minyak yang berterusan. Pada tahun 1993, 24 kejadian tumpahan minyak dilaporkan di sepanjang Laut China Selatan dan Selat Melaka. Ia meningkat kepada 93 pada tahun 1995. Kebanyakan kejadian berpunca daripada perlanggaran kapal tangki minyak, kebocoran paip, pengeluaran minyak, kebocoran semasa pemindahan dan pembersihan tangki minyak. Bahaya yang dihadapi adalah kemasukan tumpahan ke dalam kawasan-kawasan yang sensitif seperti kolam ikan dan paya bakau di pesisiran pantai.


Bagi mengatasinya, Jabatan Alam Sekitar telah mengetatkan peraturan penangkapan dan telah meningkatkan langkah pengawasan tumpahan minyak dan 'desludging' oleh kapal-kapal yang belayar di kawasan perairan Malaysia. Pelan Kontigensi Tumpahan Minyak Kebangsaan telah diperkukuhkan lagi dengan pembentukan Jawatankuasa Bagi Melawan Tumpahan Minyak di setiap negeri dan Tabung Pembersihan Pantai. Malaysia juga telah mengesahkan Konvensyen Antarabangsa bagi mencegah pencemaran daripada kapal-kapal pada 1 Mei 1997 dan Konvensyen Antarabangsa mengenai Persiapan Pencemaran Minyak, Kerjasama dan Tindakbalas pada 30 Oktober 1997. Konvensyen-konvensyen tersebut melibatkan pencegahan dan pengawasan, pencemaran daripada tangki-tangki dan mengadakan kerjasama antarabangsa terhadap kejadian tumpahan minyak. Langkah-langkah tersebut telah berjaya mengurangkan bilangan kejadian tumpahan minyak kepada 23 pada tahun 1997 berbanding dengan 60 kejadian tumpahan minyak pada tahun 1996.

Walaupun berbagai usaha telah dijalankan oleh kerajaan dalam melaksanakan undang-undang dan peraturan alam sekitar, bilangan pesalah yang didakwa di bawah Akta dan Peraturan Alam Sekitar 1974, terus meningkat. Pada tahun 1997, sejumlah 275 kes telah didakwa berbanding dengan 113 kes pada tahun 1993. Kira-kira 60% daripada kesalahan yang dilakukan pada tahun 1997 berhubung dengan kes pembuangan bahan-bahan kotoran yang melebihi kadar yang telah ditetapkan dan melanggar peraturan di bawah akta. Lain-lain kesalahan adalah berhubung dengan pembakaran terbuka serta membabitkan pengendalian bahan buangan.

Jabatan Alam Sekitar telah mengambil langkah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang perlunya pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar. Maklumat mengenai alam sekitar diedarkan kepada masyarakat dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), sekolah, institusi pendidikan tinggi dan sektor swasta.


2 ulasan:

  1. terima kasih matt...sila lah lagi menyumbangkan idea2 best hang. Sebarkan kepada rakan2 rec kita.

    BalasPadam
  2. sama-sama... mana ilmu yang ada, kita kongsi sama2.

    BalasPadam